Thursday, March 9, 2017

Kisah Cikgu ~ Salah Tanda

"Akila.. PK Petang panggil.." terdengar satu suara memanggil. "Ok.." Pantas aku turun ke bilik Puan Dewi. Oh ye.. Hampir terlupa. Aku seorang guru. Masih setahun jagung. Banyak perkara yang aku belajar atas kesilapan sendiri.

"Akila.. Ada aduan yang awak tanda kertas murid ni salah semua." Musim peperiksaan baru sahaja berakhir. Minggu ini aku dah mula pulangkan semula kertas peperiksaan kepada murid-murid.

"Salah semua Puan?" dalam hati tercetus rasa pelik sambil memandang Josh. Josh sudah berada di dalam bilik Puan Dewi dan memegang kertas peperiksaanya. "Josh.. Cikgu nak tengok yang mana cikgu salah tanda?" Aku pelik sebab kertas Josh ni aku semak bukan sekali. Malah 2 3 kali. Sebab apa? Sebab dalam kelas Josh ni murid yang boleh dikategorikan sebagai pandai. Bila tanda kertas Josh, aku semak lebih dari sekali sebab pelik kenapa Josh banyak salah jawab. Josh dapat 62 markah. 62 itu adalah gred C dan untuk mencapai gred B markah perlu mencecah 65 ke atas.

Kertas Bahasa Malaysia itu aku belek. Aku salah tanda bahagian isi tempat kosong. Ada sepuluh soalan. Josh jawab tiga sahaja betul. Manakala tujuh soalan lagi aku tanda pangkah. Tapi jawapan yang ditulis adalah betul. Hmm.. Aku tahu dah. Salah aku. Sebab aku tak tanda betul atau pangkah tu atas jawapan. Itu memang kesilapan besar aku. Sebab apa aku kata besar? Sebab kesilapan itu  boleh membuatkan orang lain ambil kesempatan.

"Josh, jawapan ni kamu tulis bila? Masa periksa ke?" tanya Puan Dewi.

"Saya jawab masa periksa cikgu. Itu semua cikgu Akila salah tanda", jawab Josh penuh yakin.

"Tapi kenapa saya tengok tulisan tak sama. pensel yang awak guna untuk jawapan yang betul ni, tumpul sikit. Tapi jawapan yang Cikgu Akila tanda salah ni, pakai pensel tajam. Betul awak tak tipu ni? Awak tak tukar jawapan ni?" soal Puan Dewi lagi.

Josh masih kekal dengan jawapan yang sama. Jawapan itu ditulis masa periksa. Mengikut pengalaman seorang guru, paling banyak tersalah tanda dalam satu muka surat mungkin satu atau dua. Ini sampai tujuh. Pelik sangat melainkan aku pejam mata masa tanda kertas Josh tu. 

"Ok. kalau macam tu maksudnya pihak sekolah kena hantar kertas ni kepada pihak penyiasat polis untuk membuat siasatan tulisan. Sebab cikgu di sekolah takde alat untuk kesan. Jadi kita minta bantuan penyiasat sebenar untuk jalankan siasatan pada kertas ini" sambung Puan Dewi lagi.

Josh tunduk. Diam. Lama..

"Saya minta maaf cikgu. Ayah suruh saya tukar jawapan sebab tak nak mak sedih. Mak saya mesti sedih kalau markah saya sikit. Tapi cikgu jangan bagitau ayah yang saya beritahu cikgu." ujar Josh takut-takut dengan suara yang tersekat-sekat.

Aku nampak air mata Josh mula bergenang. Aku dan Puan Dewi bertentang mata. Membulatkan mata mungkin lebih tepat kerana terkejut mendengar jawapan Josh.

Soalan demi soalan diajukan untuk mendapatkan kepastian. Kami tidak marah Josh. Kami percaya cakap Josh yang ayah yang suruh. Kenapa? Sebab tiga hari berturut-turut sebelum itu ayah Josh ambil cuti datang sendiri ke sekolah berjumpa cikgu mata pelajaran untuk menukar markah dan sebagainya. Tapi pada hari ini, hari keempat Josh datang seorang diri.

Sedih. Wahai ayah Josh, mengapa? Mengapa? Penat rasanya cikgu terapkan nilai murni dalam diri anak-anak ini di sekolah. Apa pentingnya markah yang banyak? Anak sekecil ini diajar berbuat apa saja untuk mendapatkan sesuatu. Pendek kata ajar anak MENIPU. Semoga kamu belajar dari kesilapan.

Josh, umur kamu baru sembilan tahun. Banyak lagi cabaran yang akan kamu jumpa dalam kehidupan. Jujurlah dalam kehidupan. Berdepanlah dengan setiap cabaran. Bangkitlah jika jatuh. Belajarlah menerima walaupun pahit. Semoga kamu menjadi orang yang berguna satu hari nanti.

Tuesday, March 7, 2017

Kisah Cikgu ~ Balik Malam

Cerita ini pendek. Tapi mendalam. Membuat hati ibu sedikit tersentuh. Anak sekarang memang bijak.

Cerita 1..

"Ibu.. bila besar nanti Ain nak jadi apa ye?" tanya Ain kepadaku sebaik sahaja pulang dari taska.

"Kenapa Ain tak tahu nak jadi apa? Bukan ke sebelum ni Ain dah ada cita-cita?" balasku lembut.

"Ye lah.. Tapi sekarang Ain dah tak tahu nak jadi apa. Ain nak kerja yang balik siang. Ain tak nak kerja yang balik malam."

Cerita 2..

Ain dan adiknya Ainul sedang bermain doktor-doktor. Kakak jadi doktor, adik jadi nurse. Pesakit adalah ibu. 

Sedang doktor Ain check ibu, tiba-tiba dia berkata "Ok. Awak boleh check dengan nurse. Saya nak balik cepat ni."

"Eh.. Tapi doktor tak habis check saya lagi ni." jawabku.

"Eh.. Tak boleh. Saya ada anak. Saya tak boleh balik malam. Nanti saya lambat nak ambil anak saya." balas doktor Ain.

................................................................................................................................................

Oh anak. Maafkan ibu dan ayah. Sebelum ni Ain pernah nak jadi cikgu. Ibu cikgu. Tapi ibu balik sekolah, hampir maghrib baru sampai rumah. Ayah pula bomba. Lagi susah nak balik di siang hari. Ain juga pernah nak jadi bomba.

Tapi sekarang keinginan Ain itu termati atas sebab dia tak nak kerja yang balik malam. Dia faham perasaan anak yang diambil lewat dari taska. Dia faham perasaan anak yang lama sangat duduk di taska. Dia faham perasaan anak yang tertunggu-tunggu ibu dan ayah muncul di taska tika hari masih cerah.

Maafkan kami anak-anak. Kami akan cuba yang terbaik. Moga anak-anak ini menjadi anak solahah dan memahami kami suatu hari nanti. Amin..